Kesan pada patung getah mirip kecederaan Adib

Spread the love

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini diberi tahu bahawa patung model getah (dami) yang digunakan dalam lakonan semula yang dijalankan Saksi Inkues Ke-29 mempunyai kesan lebih mirip dengan kecederaan yang dialami pada dada kanan anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, berkata pihaknya menggunakan dami itu yang dipegang oleh seorang anggota Bomba pada jenang pintu van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum pintu itu ditolak dengan sekuat hati.

Katanya, ia menghasilkan corak yang bersesuaian dengan kecederaan seperti dialami mangsa.

“Ia tidak ‘perfect’ (sempurna). Mungkin kita kena tendang betul-betul dan seret untuk dapat seperti luka kecederaan.

“Dami berwarna jingga dan kita cat dengan cat fabrik hitam pada bahagian pintu EMRS.

“Kemudian kita hayun pintu dengan cepat kepada dami dan dami itu juga ditarik keluar. Lepas itu kita ‘match’ (padankan) corak pada dada kanan mangsa.

“Pada pendapat saya cedera sedemikian lebih boleh dihasilkan semula. Ia lebih mirip tapi tidak sempurna, seolah-olah hentaman daripada pintu EMRS boleh menyebabkan kecederaan sebagaimana pada dami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib di hadapan Koroner Rofiah Mohamad pada pendengaran yang masuk hari Ke-28 hari ini ketika ditanya Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah.

Terdahulu, Dr Shahrom memberi tahu Mahkamah Koroner beliau berpendapat kesan kecederaan yang ada pada Adib itu tidak sepadan langsung dengan struktur bahu jalan.

Katanya, berdasarkan kepada rekonstruksi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beliau melawat sendiri di tempat kejadian, tiada benda yang menonjol di sepanjang jalan berkenaan.

“Saya cari sepanjang-panjang bahu jalan kalau ada tombol di bahu jalan. Jadi sepanjang-panjang jalan saya tengok tidak ada yang menonjol untuk menyebabkan luka sagat di tengah dada yang bersesuaian dengan tombol getah,” katanya.

Pada pendengaran sama, Dr Shahrom ketika ditanya mengenai warna lebam pada dada kanan Muhammad Adib seperti dalam gambar bedah siasat asal yang dikemukakan pada pendengaran itu sebelum ini, pakar berkenaan berkata, ia sepatutnya mempunyai skala warna.

Katanya, dengan menggunakan skala warna itu barulah beliau boleh memberikan pandangannya terhadap warna kecederaan itu.

“Saya nak komen, praktis patalogi forensik. Bila ambil gambar perlu ada skala warna bukan saja skala panjang.

“Atas dasar itu, saya tidak mahu komen warnanya sebab ia boleh hitam, boleh biru, boleh coklat, boleh apa-apa warna di situ sebab panduan tidak ada.

“Bila ada skala warna asal, bila nak ‘adjust’ (melaraskan) warna, kita kena tengok RGB (merah, hijau, biru) bersebelahan. Jadi kita dapat warna sebenar,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

Pendengaran inkues bersambung pagi Jumaat.

BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.