Kontraktor tidak dapat bayaran dari kerajaan.

Spread the love

Mana duit kami?

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima lebih 20 aduan kegagalan melunaskan bayaran kepada kontraktor berjumlah lebih RM600 juta sejak awal tahun ini.

Ia membabitkan projek kerajaan, syarikat berkepentingan kerajaan dan swasta termasuk isu kontraktor utama serta sub kontraktor.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, ia adalah sesuatu yang tidak sihat serta membebankan kontraktor sudah menyiapkan kerja dan hanya menunggu masa untuk serahan projek.

“Kita terima banyak aduan berkaitan isu ini. Jumlah mereka yang terbabit lebih 200 orang. Kerja sudah dibuat, tapi bayaran tidak dilunaskan.

“Jadi, kita minta kerajaan melihat isu ini. Saya minta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan isu ini kerana ia adalah penganiayaan kepada kontraktor,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kes terbaru, sebuah syarikat kerugian RM4 juta selepas ditamatkan kontrak walaupun sudah menyiapkan projek di bawah anak syarikat Felda Global Ventures.

Sementara itu, pengarah syarikat Abu Johan Aboo Backer berkata, pihaknya terbabit dalam projek infrastruktur pembangunan Fasa 1 Perumahan Warga FELDA di Chuping, Perlis, pada 2013 berjumlah RM24 juta.

Katanya, selepas projek siap 95 peratus, syarikat miliknya ditamatkan kontrak pada 9 Julai 2018 dengan jumlah bayaran tertangguh termasuk wang jaminan berjumlah RM4 juta.

“Alasan diberikan kami lambat menyiapkan projek, apa yang berlaku bukan salah kami, tetapi kelulusan teknikal yang lewat diterima menyebabkan ini berlaku.

“Kami kesal kerana ini berlaku sedangkan kami menyiapkan berdasarkan kelulusan. Sekarang kontrak ditamatkan dan kami tidak mendapatkan wang seperti sepatutnya,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.