Mahkamah benarkan permohonan pasukan pembelaan dapatkan perincian perbualan dengan Jho Low

Spread the love

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) — Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan untuk mengarahkan pegawai penyiasat mengemukakan bukti yang memperincikan perbualan antara pengurus bank dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kini dibicarakan, telah memohon agar pegawai itu, Ahmad Farhan Sharifuddin, mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan komunikasi antara pengurus perhubungan Ambank Joanna Yu Ging Ping dan Jho Low.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan barang-barang yang berkaitan itu adalah relevan kepada pasukan pembelaan dan saksi berkenaan, Ahmad Farhan, hendaklah mengemukakan dokumen-dokumen itu.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dalam keterangannya, Ahmad Farhan berkata beliau memperoleh bukti itu daripada Joanna Yu apabila beliau pergi ke Ambank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015, semasa serbuan dilakukan oleh tiga pasukan dari Bank Negara Malaysia (BNM). Ahmad Farhan telah mengarahkan serbuan itu dilakukan.

Hakim Mohd Nazlan berkata para peguam bela Najib memerlukan semua e-mel dan perbualan menggunakan telefon Blackberry yang telah dirampas oleh Ahmad Farhan daripada Joanna Yu.

Terdahulu, semasa diperiksa balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, Ahmad Farhan berkata beliau telah menerima barang-barang itu daripada Joanna Yu dan berada dalam simpanan penjagaannya.

Harvinderjit Singh: Boleh atau tidak anda balik dan periksa sama ada barang-barang itu masih dalam simpanan anda

Ahmad Farhan: Ya, saya kenalah periksa dulu.

Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan petikan komunikasi itu yang menurutnya mungkin mengandungi percakapan antara Joanna Yu dan Jho Low selain dengan beberapa individu lain yang berkaitan dengan kes itu.

Selain Jho Low, peguam itu juga menyebut beberapa nama seperti Nik Faisal Ariff Kamil, Jerome Lee Tak Loong, Terrence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Shahrol Azral Ibrahim, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Tan Sri Ismee Ismail dan See Yoke Peng.

Peguam Negara Tommy Thomas membantah dan berkata seluruh perbincangan hanya bermula apabila saksi berkenaan berkata barang-barang itu berada dalam simpanan penjagaannya.

Hakim Mohd Nazlan memberi tempoh kepada Ahmad Farhan untuk memeriksa bukti yang telah dirampas yang berada di bawah simpanan penjagaannya.

Hakim menangguhkan perbicaraan ke pukul 9 pagi esok, dengan mengatakan bahawa seorang lagi saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan sekiranya Ahmad Farhan masih belum dapat mengemukakan barang-barang itu kepada mahkamah.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.