Aliran keluar dana asing bersih pada Isnin-Khamis sebanyak RM373.6 juta

Spread the love

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) — Jumlah aliran keluar dana asing bersih dari Isnin hingga Khamis minggu ini adalah sebanyak RM373.6 juta berbanding defisit RM162.8 juta bagi tempoh yang sama pada minggu lepas.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penyertaan asing bagi tempoh itu pada purata 29.7 peratus berbanding purata 24.8 peratus pada minggu sebelumnya, manakala aliran keluar bersih institusi tempatan berada pada paras lebihan RM357.9 juta berbanding RM52.8 juta sebelumnya.

“Kadar penyertaan institusi tempatan pada purata 44.2 peratus berbanding kadar purata penyertaan 45.5 peratus antara April 8-11,” katanya kepada Bernama.

Afzanizam berkata perkara penting yang berlaku pada minggu ini adalah berita tentang kemungkinan bon Malaysia diturunkan gred daripada 2 kepada 1 di FTSE Russel Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI).

Malaysia ketika ini diletakkan pada gred ‘2’ (tahap tertinggi bagi akses) di WGBI dan sedang dipertimbangkan bagi potensi diturunkan gred kepada ‘1’, yang akan menyebabkan Malaysia tidak layak dimasukkan dalam WGBI.

“Ini berlaku di sebalik keluaran dalam negara kasar China pada suku pertama 2019 (1Q2019) adalah lebih baik daripada jangkaan pada 6.4 peratus berbanding anggaran dipersetujui pada sekitar enam peratus,” katanya.

Sementara itu, di peringkat domestik, Afzanizam berkata penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat akan membantu memulihkan keyakinan pelabur terhadap saham berkaitan pembinaan, berikutan akan ada lebih banyak kerja untuk kontraktor tempatan.

Beliau berkata namun masih tidak dapat dipastikan sama ada aliran dana daripada pelabur asing pada minggu depan akan berubah berikutan FTSE Russell masih belum mengumumkan keputusannya, berikutan semakan akan datang adalah pada September 2019.

“Nilai-nilai muncul dengan jelas susulan kejatuhan ketara harga saham disenaraikan di Bursa Malaysia dan mungkin, akan berlaku aktiviti belian semasa harga rendah pada minggu depan,” katanya.

Sementara itu, mengenai prestasi mata wang tempatan, penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata penyusutan ringgit baru-baru ini mungkin disebabkan oleh dua faktor, termasuk peningkatan dolar US yang disokong pengeluaran data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh dan berita bahawa Malaysia mungkin dikeluarkan daripada FTSE Indeks Bon Kerajaan Dunia, serta pegangan dana kekayaan berdaulat oleh Norway.

“Momentum jualan ringgit mungkin akan reda. Pengeluaran data ekonomi utama AS dan China, serta potensi risiko teras, juga boleh membawa kepada pergerakan jangka pendek ringgit berbanding dolar US pada paras antara 4.10-4.15,” katanya.

Pada Jumaat, ringgit ditutup pada paras 4.1300/1350 berbanding dolar US daripada 4.1400/1450 semasa ditutup pada Khamis.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.