Bekas Exco Johor, Latif Bandi bebas 37 pertuduhan

Spread the love

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah dari pertuduhan rasuah dan penyelewengan hartanah.

Ia selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Abdul Latiff, 53, dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 27, serta perunding hartanah, Amir Sahriffuddin Abd Raub, 46, berdepan 37 pertuduhan.

Pertuduhan melibatkan Seksyen 32(8)(C)  dan seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada aktiviti haram, AMLA 2001 membabitkan nilai lebih RM30 juta.

Hakim Kamaruddin Kamsun turut mengarahkan wang jaminan dipulangkan semula.

Kamarudin dalam penghakimannya pada kes pendakwaan berkata, mahkamah membuat keputusan berkenaan kerana tidak boleh memutuskan kes hanya berdasarkan keterangan mencurigakan.

Pihak pendakwaan mengemukakan 63 saksi dan 1,071 eksibit kes dalam perbicaraan yang berlangsung selama 40 hari.

Kes dikendali Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Tengku Amir Zaki.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili 11 peguam yang diketuai Datuk Hasnal Redzua Merican, Datuk Sallehudin Saidin dan Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Sementara itu, Datuk Abdul Latiff ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pada masa ini, beliau akan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga selain menyifatkan keputusan mahkamah adil kepada mereka.

Pada 19 April 2017, Abdul Latif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau bersama seorang perunding hartanah mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan nilai suapan RM30.3 juta.

Masa sama media melaporkan SPRM menahan enam individu termasuk Ahmad Fauzan yang disahkan anak kepada exco terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan penyelewengan  berhubung kes rasuah dan penyelewengan harta tanah di Johor.

Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.