Ugut tetak ibu kerana ayam goreng mentah

Spread the love

Gara-gara mengugut ingin menetak ibu kandung dengan sabit, seorang lelaki didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Kamarul Hasyime Rosli selepas tertuduh Mohd Helmi Mohamed, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda terbabit, manakala tertuduh difahamkan gagal membayar denda tersebut hari ini.

Mengikut fakta kes pada hari kejadian, tertuduh yang baru bangun daripada tidur mendapati ayam goreng dimakannya masih mentah lalu mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibunya selain turut mengugut mahu menetak mangsa dengan sabit.

Tertuduh didakwa mengugut mahu menetak ibunya, Asiah Yusoff, 59 dengan sabit di sebuah rumah di Kampung Cherang, Kota Bharu pada jam 5 petang, 14 April lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, tertuduh mengambil kesempatan merayu hukuman lebih ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Namun Timbalan Pendakwa Raya, Gayathri Sambath memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.