Jenayah siber catat kerugian lebih RM67 juta dalam 3 bulan

Spread the love

Kes jenayah siber menyebabkan kerugian berjumlah RM67.6 juta melalui 2,207 aduan direkodkan seluruh negara dalam tempoh 3 bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Shakib Ahmad Shakir.

Shakib berkata 3 kes tertinggi melibatkan kes penipuan panggilan yang merekodkan RM26.8 juta (773 kes), penipuan belian dalam talian RM4.2 juta (811 kes) dan African scam berjumlah RM14.9 juta (371 kes).

Kes jenayah siber (komersial) pinjaman tidak wujud (E-Financial Fraud) merekodkan 212 kes melibatkan kerugian berjumlah RM21.5 juta.

Katanya antara kerugian adalah melalui penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data.

Shakib berkata jumlah kerugian yang tinggi itu menimbulkan kebimbangan kepada kementerian dan agensi di bawahnya.

“KKMM bertekad memerangi jenayah siber susulan kebimbangan peningkatan jumlah jenayah siber dalam pelbagai cara,” katanya ketika merasmikan Taklimat Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber dan Antipemerdagangan Orang peringkat Labuan di Ujana Kewangan, hari ini.

“Jenayah siber merupakan ancaman serius kepada rakyat berikutan penipuan ini berpotensi mengakibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit hasil titik peluh mereka,” katanya.

Taklimat ini merupakan satu daripada komitmen KKMM dalam melaksanakan tindakan dan agenda promosi dan publisiti meningkatkan kesedaran orang ramai melalui pendidikan jenayah telekomunikasi dan cara mengelak dan melindungi diri menjadi mangsa jenayah telekomunikasi sekali gus membanteras jenayah ini.

Shakib berkata menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersil terdapat sejumlah 13,058 aduan penipuan dilaporkan pada 2017 berbanding 10,394 tahun lepas, penurunan kepada 2,663.

“Saya dimaklumkan jenayah tipu panggilan (telecommunication fraud) adalah jenayah paling kerap berlaku di Labuan dengan 16 aduan direkodkan pada 2017 dan meningkat kepada 19 aduan tahun lepas, peningkatan 35%,” katanya.

Shakib berkata KKMM akan terus bekerjasama dengan rakan strategik – media, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi dan jabatan di bawah KKMM seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Katanya KKMM terlibat dengan kempen publisiti dan promosi untuk Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) sejak 2017.

“Kempen tersebut bertujuan menyelaras penyampaian dan penyaluran maklumat dalam pelbagai bentuk dan saluran kepada orang awam,” katanya.

Katanya fungsi MAPO adalah sebagai platform menyelaras aktiviti publisiti dan promosi MAPO secara bersepadu, berkongsi maklumat dan pengukuhan bersama.

FMY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.