Polis sahkan terima laporan terhadap Syed Husin

Spread the love

Polis mengesahkan menerima laporan terhadap Dr. Syed Husin Ali ekoran kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu semasa forum mengenai Statut Rom di Universiti Malaya (UM) yang didakwa menghina institusi Raja-Raja.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis akan menyiasat kes tersebut di bawah Akta Hasutan atau undang-undang lain yang berkaitan selain turut akan memanggil Syed Husin.

“Saya tahu ada kenyataan dibuat, ada beberapa pihak telah buat laporan polis termasuk NGO yang tidak puas hati, jadi kita siasat kerana laporan telah dibuat.

“Bergantung kepada keperluan sama ada perlu dipanggil atau tidak (Syed Husin), jika perlu kita akan panggil,” katanya dalam pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.

Hadir sama, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beberapa pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan polis terhadap Syed Husin berikutan kenyataannya di forum tersebut yang disifatkan telah menimbulkan kebencian terhadap Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, Mohamad Fuzi turut mengesahkan pihaknya telah menerima sebanyak 867 laporan polis terhadap Muhammad Zamri Vinoth yang juga pembantu pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik yang didakwa menghina agama Hindu.

Muhammad Zamri yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis telah ditahan polis di Arau, awal pagi semalam. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.