Ringgit susut berbanding dolar AS

Spread the love

Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini ekoran kekurangan minat belian baharu, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1480/1510 berbanding dolar AS daripada 4.1470/1500 yang dicatatkan sewaktu ditutup pada Selasa.

Ini merupakan prestasi paling lemah ringgit sejak 3 Jan, 2019 apabila ia ditutup pada paras 4.1460/1500 berbanding dolar AS.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan menyifatkan ketiadaan reaksi ketara terhadap langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman semalam, sememangnya dijangkakan kerana bank pusat itu telah membayangkan pada Mac lepas bahawa ia akan mengambil tindakan awal bagi mewujudkan penampan dan aspek dasar.

“Kadar yang diturunkan itu dijangka memastikan permintaan dalam negara dapat terus memacu momentum pertumbuhan ekonomi berikutan keadaan Malaysia yang perlu menepis risiko penurunan ketara dan ketidakpastian global seperti yang dinyatakan dalam kenyataan terbaru dasar monetari BNM,” katanya.

BNM mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00% dan bank pusat itu berkata, pelarasan OPR itu bagi melindungi tahap akomodatif monetari.

“Ini konsisten dengan pendirian dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan yang mantap di tengah-tengah kestabilan harga,” kata BNM.

Kali terakhir BNM membuat perubahan kadar OPR pada 25 Jan, 2018, apabila menaikkan 25 mata asas kepada 3.25%.

Tan berkata, pada masa akan datang, FXTM menjangkakan faktor luaran akan terus menjadi penentu prestasi ringgit.

Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.