Kelab gergasi Sepanyol itu telahpun menandatangani rakan sepasukan de Ligt, Frenkie de Jong dengan harga 75 juta pound (RM397 juta) pada Januari dan berharap dapat memeteraikan perjanjian dengan pemain pertahanan itu sebelum musim berakhir.

Bagaimanapun, persembahan mengagumkan pemain berusia 19 tahun itu dalam saingan Liga Juara-Juara ternyata menarik perhatian ramai dan ejennya, Mino Raiola dengan senang hati membiarkan minat yang datang itu hadir dari seluruh Eropah.

Liverpool berminat untuk menggandingkan de Ligt dengan rakan sepasukannya dalam skuad Belanda, Virgil van Dijk di Anfield, manakala United turut menawarkan peluang kepada pemain remaja itu untuk menjadi tonggak dalam skuad yang sedang dibina semula Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford.

Bagaimanapun, Skysport mendakwa pemain Belanda itu telahpun menyimpan hasrat untuk berpindah ke Camp Nou dan dia akan menyertai de Jong di Barcelona. Barcelona dijangka membayar sebanyak 80 juta pound (RM424 juta) untuk menandatangani de Ligt yang sekali gus menjadikannya pertahanan paling mahal sepanjang zaman. – AGENSI