Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Spread the love

Ringgit terus susut berbanding dolar US sewaktu pasaran dibuka hari ini yang menyaksikan unit negara maju itu terus mengukuh didorong oleh pulangan hasil lebih tinggi serta pertikaian perdagangan yang berlanjutan Washington-Beijing, sekali gus meningkatkan minat terhadap mata wang selamat.

Pada 9 pagi ini, ringgit disebut pada 4.1780/1810 berbanding dolar US daripada 4.1750/1780 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dari segi teknikal, ringgit masih dalam lingkungan ‘terlebih jualan.’

Malah, konflik perdagangan Amerika Syarikat dan China yang terus berlanjutan, termasuk menyaksikan syarikat telekomunikasi terkemuka China, Huawei disenaraihitam, hanya menunjukkan bahawa pemulihan teknikal sukar berlaku dalam masa terdekat ini.

“Ringgit dijangka diniagakan sekitar paras RM4.16 hingga RM4.18 berikutan ketidaktentuan impaknya terhadap sektor teknologi yang turut penting kepada ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan bercampur-campur dengan kelompok mata wang utama dunia.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0372/0398 berbanding 3.0335/0368 pada penutupan Jumaat lepas dan susut berbanding euro kepada 4.6647/6685 daripada 4.6601/6652.

Ia bagaimanapun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7913/7950 daripada 3.8051/8093 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3173/3216 daripada 5.3265/3324 pada Jumaat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.