Persatuan gesa 20% kuota untuk kontraktor Bumi dalam projek ECRL

Spread the love

Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia memohon kerajaan Pakatan Harapan memberikan kuota khas sekurang-kurangnya 20% kepada kontraktor Bumiputera untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek mega Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Kehormat, Mokhtar Samad berkata ini kerana terdapat kira-kira 42,000 kontraktor Bumiputera yang berkepakaran dan berkemahiran tinggi untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek tersebut.

“Mereka ini boleh melakukan pelbagai kerja dalam projek tersebut. Apa salahnya jika 40% kuota penglibatan syarikat tempatan dalam projek ini perlu melibatkan 20% kontraktor Bumiputera? Persatuan kontraktor minta wujud kuota khas kepada kontraktor Bumiputera.

“Jika tiada kuota khas itu, saya percaya, kontraktor Bumiputera sukar bersaing atau berkongsi dengan syarikat tempatan lain. Ini permintaan logik dari persatuan, saya percaya, kerajaan baru ini lebih prihatin kepada kontraktor Bumiputera,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 15 April lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pembabitan Malaysia dalam kerja-kerja awam projek ECRL ditingkatkan kepada 40% berbanding 30% susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada 12 April.

Dalam satu temu ramah dengan Bernama, Wakil Khas Perdana Menteri untuk rundingan semula projek mega ECRL bersama kerajaan China, Daim Zainuddin berkata sektor pembekalan dan aspek teknikal antara yang perlu direbut kontraktor Bumiputera dan tempatan dalam projek mega tersebut.

Mokhtar berkata kerja-kerja teknikal, mekanikal dan sivil antara kepakaran tinggi di dalam portfolio kontraktor tempatan yang perlu diberi perhatian kerajaan dan juga pihak MRL untuk sama-sama terbabit membangunkan platform pengangkutan baharu itu.

Beliau berkata pihaknya juga menemui MRL baru-baru ini bagi meminta kerja-kerja pembangunan ECRL itu diberi keutamaan kepada kontraktor Bumiputera.

Mokhtar turut merayu kepada kerajaan supaya tarikh tutup penyerahan pratender kerja-kerja awam ECRL dilanjutkan kepada 3 minggu lagi berbanding tarikh asal iaitu pada 30 Mei ini berikutan musim perayaan dan sambutan Aidilfitri.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Ia disambung semula pembinaannya dan akan meliputi jajaran baru dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.