Awat hang bakaq…

Spread the love

LELAKI warga emas ditahan selepas didapati membakar warung roda tiga milik seorang peniaga di Bagan Ajam, Butterworth, Isnin lalu.

Suspek yang berusia 67 tahun itu ditahan sendiri pemilik warung terbabit beberapa jam selepas dia melakukan perbuatan itu.

Perbuatan suspek dikesan lelaki berkenaan yang melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berhampiran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa mendapati ada kelibat seorang lelaki tidak dikenali membakar warungnya ketika melihat CCTV.

Menurutnya, mangsa kemudian terserempak dengan suspek yang berada berhampiran lokasi kejadian jam 12.40 tengah hari.

“Sebaik melihat suspek, mangsa terus mengejarnya dan berjaya menahan lelaki warga emas yang disyaki membakar warung roda tiga miliknya.

“Suspek kemudian diserahkan kepada polis dan siasatan mendapati warung mangsa yang menjual pelbagai makanan itu hangus sepenuhnya akibat khianat,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa terpaksa menanggung kerugian mencecah RM10, 000 dan polis juga akan menghantar rakaman CCTV ke makmal forensik untuk dianalisa.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan

“Kita juga sedang mengenalpasti apa motif sebenar suspek hingga dia sanggup membakar warung berkenaan,” katanya.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.