Kertas siasatan kes ugutan pemimpin DAP sudah siap

Spread the love

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan mengesahkan siasatan membabitkan kes ugutan Pengerusi DAP Jerantut, Loo Why Leong terhadap Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, sudah selesai.

Beliau berkata, kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan pihaknya masih menunggu arahan selanjutnya daripada mereka.

“Kertas siasatan sudah siap dan dihantar untuk rujukan mereka (TPR) dan memandangkan kes ini membabitkan ahli politik serta boleh dikatakan mempunyai kepentingan awam, jadi ia (kertas siasatan) dirujuk ke Putrajaya.

“Keputusan untuk mendakwa pemimpin itu (Why Leong) terletak di tangan mereka (TPR) dan kita sudah melakukan siasatan serta menyerahkan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya,” katanya selepas mewakili Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Zakaria Ahmad pada Majlis Pelancaran Op Selamat 15/2019 di Stesen Minyak Shell, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Pahang, Datuk Abdul Aziz Salleh; Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohamad Abdullah.

Why Leong ditahan 19 Mei lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan selepas Mazlan membuat laporan polis berhubung tindakan pemimpin DAP itu menghantar pesanan berbaur ugutan melalui aplikasi WhatsApp kepadanya.

Dia dibebaskan dengan jaminan polis sebaik proses merekodkan keterangan selesai, lewat petang hari sama.

Sementara itu, mengulas Op Selamat kali ini, Othman berkata, terdapat dua fokus utama ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang iaitu memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan keselamatan kediaman ditinggalkan sepanjang musim perayaan bermula minggu depan.

“Aspek penugasan pegawai dan anggota akan dimaksimumkan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

“Begitu juga keselamatan kediaman selepas penghuninya pulang ke kampung halaman, kita tetapkan sasaran sifar jenayah pecah rumah sepanjang tempoh Op Selamat bermula semalam hingga 12 Jun ini,” katanya.

BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.