OIC perlu penstrukturan semula untuk tangani cabaran umat Islam – Raja Salman

Spread the love

MAKKAH, 1 Jun (Bernama) — Penjaga Dua Kota Suci Islam, Raja Salman Abdulaziz al Saud mahu melaksanakan penstrukturan semula terhadap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mampu menangani cabaran serantau dan antarabangsa yang dihadapi umat Islam ketika ini.

“Melalui jawatan pengerusi OIC yang disandang kali ini, Arab Saudi akan berusaha untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota bagi mempercepatkan pelaksanaan tindakan bersama untuk mencapai hasrat umat Islam sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak OIC ke-14 di Istana Royal Sofa di sini pada Jumaat.

Raja Salman turut melahirkan rasa dukacita terhadap pelarian Islam di seluruh dunia yang mencatatkan bilangan peratusan tertinggi, yang berlaku akibat pergolakan dan peperangan, selain kehilangan nikmat keamanan di negara sendiri.

Baginda turut menegaskan negaranya sedang berusaha meraikan pelbagai pandangan daripada negara-negara Islam untuk mengatasi pergolakan dan peperangan yang berlaku.

“Pada masa yang sama juga, Arab Saudi terus menghulurkan bantuan menerusi badan kemanusian demi kedaulatan, keamanan dan kestabilan seluruh negara Islam,” katanya.

Raja Arab Saudi itu berkata isu Palestin adalah perkara asas dalam gerak kerja pertubuhan OIC.

“Ia (isu Palestin) menjadi tumpuan kami supaya rakyat Palestin mendapat semula segala hak mereka dan dijamin resolusi legitimasi antarabangsa dan Inisiatif Damai Arab 2002.

“Kami sekali lagi menyatakan pendirian menolak sebarang langkah yang akan menjejaskan status sejarah dan undang-undang negara Palestin,” katanya.

Persidangan Bertemakan: “Sidang Kemuncak Makkah: Bersama-sama menuju ke arah Masa Depan”, dihadiri para pemimpin dari 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu menegakkan pendirian berhubung isu dan peristiwa yang sedang melanda Dunia Islam.

Sidang kemuncak itu juga mengeluarkan ‘Deklarasi Makkah’ dan pernyataan akhir, untuk menangani pelbagai isu terkini di dunia Islam.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.