Lelaki disamun ketika langgan pelacur

Spread the love

SIBU: Hasrat melanggan pelacur bertukar tragedi selepas seorang lelaki disamun di sebuah rumah tumpangan, di Jalan Central di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa berniat melanggan pelacur selepas isterinya sudah lama tidak memberikan nafkah batin, selain baharu menerima gaji.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lelaki terbabit diugut dengan diacu pisau oleh seorang daripada tiga lelaki, sebelum menyamun dompet mangsa mengakibatkan kerugian RM800.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner, Stanley Jonathan Ringgit, berkata mangsa yang berusia 52 tahun itu terpesona dengan kelibat seorang wanita yang bertindak melambai ke arahnya untuk menawarkan khidmat seks.

“Dengan bayaran antara RM50 hingga RM60, mangsa kemudian naik ke rumah tumpangan berkenaan dan tidak lama selepas itu, mangsa didatangi tiga lelaki dengan niat memeras ugut wang mangsa.

“Seorang mengeluarkan pisau mengugut mangsa menyerahkan wang dan mangsa menghulurkan RM50 tetapi ditolak suspek kerana nilainya terlalu rendah,” katanya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Stanley berkata suspek yang berang dengan tindakan mangsa, kemudian merampas dompet termasuk kad pengenalan lalu melarikan diri.

“Mangsa kemudian bergegas ke Pondok Polis di Pusat Transformasi Bandar (UTC) untuk membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, kawasan kejadian itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan mangsa tidak dapat memberi gambaran suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan bersenjatakan pisau,” katanya.

BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.