Berikut merupakan kenyataan penuh Ketua Wiranita Putra, Intan Rahimah Ali:

Wiranita Putra kesal dengan sikap angkuh dan tidak matang yang di tunjukkan oleh Saifuddin terhadap teguran yang dibuat oleh Rafidah Hanim mengenai isu LGBT di laman Twitternya.

Wiranita Putra berpendapat sebagai seorang menteri, Saifuddin sepatutnya menerima teguran Rafidah Hanim dengan bersikap terbuka dan berlapang dada.

Teguran yang dibuat oleh Rafidah Hanim itu jelas ada asasnya kerana ‘tweet’ yang dibuat oleh individu bernama Numan Afifi itu jelas menyokong aktiviti LGBT yang diharamkan oleh Islam. Malah, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat kenyataan bahawa LGBT tidak diterima di negara ini.

Rafidah Hanim cuma menegur tindakan Saifuddin yang mana dilihat sekolah-oleh menyokong apa yang ‘ditweet’ oleh Numan Afifi. Adakah Saifuddin tidak merasakan bahawa apa yang ‘ditweet’ oleh Numan itu menyinggung perasaan umat Islam? Adakah Saifuddin mahu mempromosikan LGBT dan Islam liberal?

Teguran Rafidah Hanim itu jelas dibuat atas kesedaran beliau sebagai seorang ibu yang bimbang aktiviti LGBT akan mempengaruhi anak muda. Adakah Saifuddin tidak bimbang jika anak-anak beliau terpengaruh dan mengamalkan gaya hidup LGBT?

Wiranita Putra mendesak agar Saifuddin segera membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Rafidah. Wiranita Putra juga menasihatkan Saifuddin agar bersikap matang dan menerima teguran dengan berlapang dada.-UTUSAN ONLINE