Kemenangan bergaya itu menyaksikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mudah menguasai aksi tersebut dengan keputusan agregat 12-2 selepas terlebih dulu menang 7-1 pada saingan pertama Jumaat lalu sekali gus melangkah ke pusingan kelayakan kedua yang akan bermula September depan.

Seperti dijangka, Cheng Hoe mengambil keputusan merombak kesebelasan utama apabila memberi peluang buat pemain-pemain muda seperti Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim, Shahrel Fikri Md. Fauzi, Akhyar Rashid dan Syazwan Andik Ishak.

Keputusan tersebut ternyata membuahkan hasil apabila Shahrel Fikri beraksi cemerlang di posisi serangan apabila menyumbat dua gol pantas pada minit ke-11 dan ke-17 manakala pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh menjaringkan gol ketiga pada minit ke-36.

Ifwat turut mempamerkan kecemerlangan apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti yang dilakukan oleh kapten pasukan Timor Leste, Joao Da Silva pada minit ke-30.

Bersambung babak kedua, skuad Malaysia tidak menunggu lama untuk meraih gol ke-4 hasil ledakan Akhyar pada minit ke-54.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, Shahrel Fikri sekali lagi menggembirakan kem Malaysia apabila merekodkan jaringan hatrik dengan meledak gol ke-3 peribadinya pada minit ke-64.

Pasukan pelawat yang dibimbing oleh Norio Tsukitake meraih gol sagu hati menerusi Rufino Walter Gama pada minit ke-70 dan keputusan 5-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut membolehkan Malaysia mengesahkan slot 40 negara terbaik untuk beraksi pada pusingan kedua bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan undian peringkat kumpulan akan dibuat di Qatar pada 17 Julai depan. – K! ONLINE