Haziq muncul lagi, dakwa hubungan seks lain di hotel dengan menteri

Spread the love

PETALING JAYA: Individu di tengah-tengah kontroversi video seks sejenis yang menyasarkan Mohamed Azmin Ali mempersoalkan kejujuran Pakatan Harapan (PH) selepas pemimpin kerajaan menuduh beliau mempunyai agenda politik berikutan pengakuan yang dibuatnya awal pagi semalam.

Haziq Aziz, setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau dihindari rakan dalam parti, selain mendakwa seorang wakil datang menemui beliau bagi memaksanya menarik balik dakwaan yang dibuat.

Beliau seterusnya berkata, hubungan seks yang didakwa dilakukannya dengan Azmin itu bukanlah kejadian pertama. Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

“Kali pertama di Grand Continental Kuching 3 tahun lepas, selepas itu di Pullman Kuching semasa pemilihan parti pada Oktober tahun lepas.

“Kita lakukannya lagi di Grand Hyatt KL semasa anda bertugas sebagai menteri pengiring kepada Sultan Brunei pada Mac tahun ini, dan pertemuan terbaru kita di Fourpoints Sandakan bulan lepas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Semalam Haziq menggemparkan negara dengan satu klip video berdurasi 30 saat di Facebook yang menyaksikannya berkata, beliau adalah individu dalam beberapa klip video tular yang menunjukkan 2 lelaki melakukan seks sejenis, dengan seorang daripadanya mirip seorang menteri kanan.

Haziq menamakan Azmin sebagai individu pasangannya dalam video berkenaan. Timbalan presiden PKR itu bagaimanapun mendakwa dakwaan tersebut bertujuan mematikan kerjaya politik beliau.

“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalih perhatian orang ramai dari isu negara yang lebih mendesak,” kata Azmin semalam.

Azmin turut mendapat sokongan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, selain pemimpin kanan PKR, termasuk Anwar Ibrahim.

Mahathir memberitahu pemberita malam tadi bahawa klip video tersebut palsu dan Haziq mempunyai agenda politik.

Susulan video pengakuannya itu, Haziq hari ini berkata beliau didatangi seorang proksi yang menemuinya di sebuah hotel di Putrajaya.

“Beliau memaksa saya menafikan bahawa bukan anda dalam video tular itu dan meminta saya menipu untuk anda,” katanya, selain mengenal pasti individu yang bertemunya itu sebagai Hilman Idham, setiausaha politik Azmin, yang juga merupakan timbalan ketua Pemuda PKR.

“Saya meminta sedikit masa untuk bercakap dengan ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya. Selepas saya menolak, dia membuat ugutan dengan berkata, “ini” akan ditamatkan dalam 48 jam sama ada dengan bantuan saya untuk menipu atau sebaliknya.

Haziq juga menyerang Azmin sebagai “lelaki sakit” dan menuduh beliau merakam video itu sebagai “koleksi peribadi”.

“Saya bimbang lebih banyak video yang akan dibocorkan dan keistimewaan yang anda nikmati sebagai seorang menteri ialah membuat penafian, sedangkan masa depan saya telah berakhir.

“Anda juga mendapat sokongan penuh perdana menteri sebelum siasatan rasmi dijalankan. Hanya kebenaran menjadi penyelamat saya. Saya bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarga saya,” katanya.

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.