Iran nafi serang

Spread the love

Penafian Iran itu dibuat selepas Amerika menyiarkan rakaman video dan gambar yang didakwa menunjukkan pasukan Pengawal Revolusi Republik Iran (IRGC) menanggalkan periuk api yang tidak meletup dari kapal Kokuka Courageous.

“Pada jam 4:10 petang waktu tempatan satu bot peronda IRGC menghampiri Kokuka Courageous dan dilihat serta dirakam menanggalkan periuk api tidak meletup magnetik dari badan Kokuka Courageous.” kata Kapten Tentera Laut Amerika, Kapten Bill Urban, jurucakap Pusat Pemerintahan Tentera Amerika dalam kenyataan semalam.

Reuters melaporkan, Washington mendakwa rakaman video itu jelas menunjukkan anggota elit tentera Iran menghampiri kapal tangki Jepun terbabit dan menanggalkan apa yang didakwa Amerika sebagai periuk api.

Bagaimanapun, semalam, anak kapal Kokuka Courageous berkata, mereka ternampak ‘objek terbang’ sebelum berlaku letupan.

“Anak kapal menyatakan kapal terkena objek terbang. Mereka nampak dengan mata mereka sendiri.

“Kami menerima laporan menyatakan sesuatu yang terbang mengenai kapal sebelum berlaku letupan dan menyebabkan lubang pada badan kapal,” kata Yutaka Katada iaitu Presiden syarikat Kokuka Sangyo yang memiliki Kokuka Courageous.

Menurut Katada, kapal itu yang membawa methanol, diserang dua kali dengan serangan pertama berjaya dielak sebelum diserang sekali lagi tiga jam kemudian.

Serangan terhadap Kokuka Courageous itu berlaku pada masa hampir sama dengan serangan terhadap satu lagi kapal tangki, Front Altair milik syarikat Norway menyebabkan tiga letupan.

Amerika mendakwa video terbabit dirakam 10 jam selepas panggilan kecemasan daripada dua kapal terbabit dan lima jam selepas satu kapal tentera laut Amerika menyelamatkan 21 anak kapal Kokuka Courageous yang terjun ke dalam laut.

Sehingga kini fakta mengenai siapa menyelamatkan anak kapal terbabit masih mengelirukan dengan Iran menyatakan pasukannya menyelamatkan semua 44 anak kapal iaitu 23 anak kapal Front Altair dan 21 anak kapal Kokuka Courageous.

Namun, Amerika mendakwa kapalnya menyelamatkan anak kapal Kokuka Courageous.

AFP melaporkan, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, melalui Twitter berkata, “Amerika membuat tuduhan melulu terhadap Iran tanpa sebarang bukti atau fakta jelas”.

Iran menegaskan ia bertanggungjawab mengekalkan keamanan di Selat Hormuz dan tuduhan ia menyerang dua kapal tangki terbabit adalah berbahaya.

“Kami bertanggungjawab mengekalkan keselamatan di Selat dan kami menyelamatkan kru kapal yang diserang secepat mungkin. Tuduhan Setiausaha Amerika (Mike) Pompei terhadap Iran amat bahaya,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi.

Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.