Ini disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya, baru-baru ini. Sepatutnya ini dilakukan sebaik sahaja mereka menjadi kerajaan.

Iyalah banyak janji ditabur kepada orang kampung dan petani sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu tetapi sehingga kini masih tidak tertunai.

Lebih malang subsidi dan insentif petani pula dipotong sehingga 50 peratus.

Sebagai contoh, anggaran 2018 subsidi baja padi adalah RM465 juta tetapi kini tinggal RM232.5 juta pada Bajet 2019 (rujuk infografik).

Tatkala pesawah masih bergelut dengan serangan siput gondang sejak beberapa tahun lalu dan padi angin (berpunca daripada benih padi dibekalkan kurang bermutu), ini pula yang mereka ‘dapat’.

Janji Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub untuk mengembalikan subsidi petani dalam satu majlis di Yan, Kedah, lima bulan lalu walaupun terpaksa berhutang, masih segar dalam ingatan golongan ini.

Maka sebab itu, ramai yang memandang sinis dengan keprihatinan Perdana Menteri tatkala menyuarakan nasib petani.

Sila rujuk muka surat 12, Utusan Malaysia keluaran 12 Jun lalu, luahan pesawah yang meminta kerajaan menyelesaikan dahulu pelbagai masalah mereka sebelum ini.

Malah isu seperti petak sawah terlalu kecil yang dikatakan Perdana Menteri tidak mampu untuk memberi pulangan menguntungkan kepada petani, bukan perkara baharu.

Ia satu daripada puluhan masalah sedang dihadapi oleh pesawah sejak sekian lama. Begitu juga hasil pengeluaran padi yang tidak efisien per hektar tanah.

Kesemua ini sebenarnya berbalik kepada banyak faktor yang gagal diselesaikan kerajaan pada peringkat awal lagi iaitu semasa pembekalan benih padi sah.

Sebelum ini pun, timbul cadangan oleh Perdana Menteri untuk pesawah menanam padi pada waktu malam.

Dan sepantas ‘kilat’ jugalah ramai pesawah tidak bersetuju walaupun tanpa mengemukakan bukti saintifik.

Bagi mereka secara logik akal, malam adalah masa untuk berehat. Jika di siang hari pun ada yang dipatuk ular tedung, apatah lagi ketika gelap.

Terkini, timbul pula cadangan untuk golongan pesawah menanam tanaman kontan iaitu tanaman masa singkat seperti sayur-sayuran bersama padi.

Menurut pesawah, tidak mungkin sayur hendak ditanam bersama padi atas faktor kesesuaian tanah. Apatah lagi padi ditanam dua kali setahun.

Jika hendak dilaksanakan di kawasan selain sawah, bagaimana pula mereka yang tidak mempunyai tanah.

Ibarat kata Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman baru-baru ini, buatlah konvensyen bersama Peladang.

Sudah lama ia tidak diadakan. Ia platform terbaik untuk kerajaan mencari formula dan mengenal pasti masalah dihadapi oleh golongan pesawah, penoreh dan peneroka kelapa sawit.

Janganlah syok sendiri dengan membuat pelbagai cadangan tetapi akhirnya dipandang sinis oleh petani. – UTUSAN ONLINE