Kerajaan Pusat pertimbang biayai PIP

Spread the love

BUTTERWORTH: Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan cadangan untuk menyalurkan dana kepada kerajaan Pulau Pinang bagi membiayai pelbagai projek dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kementeriannya akan meneliti permohonan kerajaan Pulau Pinang terlebih dahulu, selain dibincangkan membabitkan pelbagai aspek termasuk laporan perunding kewangan.

Katanya, sekiranya diluluskan, peruntukan bagi membiayai pelaksanaan pelbagai projek dirangka menerusi PIP itu akan diberikan secara berperingkat.

“Saya rasa (peruntukan membiayai PIP daripada Kerajaan Persekutuan) kena buat secara berperingkat dan ia sudah pun dibincangkan.

“Biarkan perbincangan dibuat secara menyeluruh dan selesai terlebih dahulu sebelum kita buat sebarang pengumuman. Tak wajar ia dibincangkan menerusi media dan biarkan perbincangan ini dibuat secara teratur mengikut perancangan dan prosedur.

“Kita buat kerja secara serius dan apabila ada hasilnya nanti, baru kita umumkan. Semuanya akan disemak dan diambil kira,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyior di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Perancangan Fizikal Negara dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan pelaksanaan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang dan meminta kerajaan negeri mematuhi 18 nasihat ditetapkan.

Kerja tambakan laut bagi membentuk tiga pulau buatan dengan keluasan lebih 2,600 hektar itu bertujuan untuk membiayai PIP, dianggarkan bernilai RM46 bilion bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

Antara projek dirangka menerusi PIP ialah pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya.

Terdahulu, Guan Eng dalam ucapannya berkata, kementeriannya akan berusaha mencari peruntukan bagi membaiki infrastruktur SK Sungai Nyior yang mengalami kerosakan ekoran pelbagai faktor.

“Kita akan meneliti kerosakan yang perlu diberi keutamaan untuk dibaiki dengan proses baik pulih akan dibuat berperingkat. Saya juga akan berusaha untuk cari kaedah lain untuk membiayai projek baik pulih kemudahan infrastruktur di sekolah ini.

“Ini kerana, kita tak boleh terlalu bergantung kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan, selain ada kerosakan yang tidak dibaik pulih sejak tahun 2014 lagi,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.