Menurut sumber, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipercayai meninggalkan pekarangan ibu pejabat suruhanjaya itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

Jelas sumber, Ahmad Zahid telah keluar dari pekarangan SPRM dengan menaiki kereta peguamnya.

Walau bagaimanapun, pihak media tidak menyedari beliau telah meninggalkan SPRM dan hanya mendapat maklumat mengenai perkara berkenaan kira-kira pukul 5 petang ini.

Terdahulu, Presiden UMNO itu dipercayai tiba di SPRM pada pukul 9.30 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna hitam.

Menurut sumber, beliau dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat dan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pertuduhan dijangka dilakukan di dua mahkamah iaitu Mahkamah Jalan Duta dan Mahkamah Shah Alam kerana perbuatan itu berlaku di dua lokasi berkenaan.

Siasatan awal mendakwa bekas Menteri Dalam Negeri itu menerima sejumlah wang sogokan daripada sebuah syarikat yang digunakannya untuk tujuan peribadi.

Untuk rekod, syarikat berkenaan adalah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri pada 2016 bagi mengendalikan Sistem Visa Luar Negara (VLN) atas talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.

Menurut laporan akhbar, sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, syarikat itu sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang, namun tapisan keselamatan dilakukan amat lemah sehinggakan kelulusan diberikan kepada seekor beruk yang diberikan identiti palsu.

Syarikat itu juga diberi hak memungut fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan. – UTUSAN ONLINE