Akhlak kolektif PH jadi tumpuan akibat isu seks gay, kata Kadir Jasin

Spread the love

PETALING JAYA: Menggunakan contoh pemimpin politik di negara lain meletak jawatan selepas terbabit skandal seks, seorang pengikut setia Dr Mahathir Mohamad dalam PPBM hari ini membayangkan ahli politik Pakatan Harapan yang berada dalam situasi sama sepatutnya melepaskan jawatan mereka.

Merujuk “video Sandakan” tanpa menamakan Mohamed Azmin Ali, A Kadir Jasin, bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP), berkata kontroversi itu bukan hanya peluang bagi polis menjalankan siasatan secara profesional, tetapi juga ujian bagi “perikemanusiaan, rendah hati, akhlak dan maruah” kolektif pemimpin PH.

“Soalan yang setiap pemimpin PH perlu tanya ialah, adakah saya menggunakan jawatan saya dalam parti dan kerajaan untuk melindungi diri daripada salah laku saya atau saya lindungi parti saya dan kerajaan daripada mendapat malu dengan melakukan perkara betul?” tulisnya dalam blognya.

Pada 12 Jun lalu, Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengejutkan negara dengan mengakui dirinya ialah seorang daripada 2 lelaki yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, bulan lalu.

Haziq yang dipecat daripada jawatan setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin susulan pengakuannya yang dimuat naik ke Facebook, turut menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video lucah itu.

Bagaimanapun, menteri hal ehwal ekonomi itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang.

Mahathir mempertahankan Azmin dan menolak gesaan untuk beliau bercuti atau melepaskan jawatan sementara polis menyiasat video itu.

Hari ini, Kadir membangkitkan keadaan sama di India, Kanada dan Britain di mana pemimpin terbabit skandal seks bertindak meletak jawatan, termasuk menteri di Britain, Andrew Griffiths dan menteri Kanada, Jim Wilson.

Kadir turut menyentuh hubungan sulit Prufomo pada 1961, di mana Setiausaha Negara Britain bagi Perang, John Prufomo dipecat dan dipenjarakan selepas mengaku mengadakan hubungan sulit dengan seorang model berusia 19 tahun, Christine Keeler.

“Dia dipenjarakan bukan kerana tidur dengan Keeler, tetapi disebabkan berbuat demikian, dia membahayakan keselamatan UK kerana wanita itu ialah teman wanita seorang perisik Soviet berpangkalan di UK.”

Kadir berkata, beliau memilih untuk mendiamkan diri mengenai isu Azmin-Haziq dan mengimbau bagaimana reputasinya sebagai wartawan “teruk terjejas” kerana memihak kepada satu pihak dalam satu kontroversi sama ketika mengetuai NSTP.

Beliau merujuk dakwaan salah laku seksual terhadap Anwar Ibrahim pada lewat 1990-an yang menyebabkan pemecatan timbalan perdana menteri itu pada 1998.

“Reputasi saya sebagai seorang wartawan dan editor dipersoalkan dan akhbar yang saya sunting merana.”

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.