Pecat Haziq : Zuraida tak perlu terlalu emosi dan kepala sendiri – Syukri

Spread the love

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin digesa supaya tidak “terlalu mengikut emosi” dan “kepala sendiri” berhubung isu video intim yang dikaitkan dengan pemimpin parti mereka.

Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata Zuraidah sebagai pemimpin senior sepatutnya menunjukkan disiplin yang baik.

“Jangan kerana terlalu mengikut emosi dan kepala sendiri, Zuraida sanggup melupakan prinsip asas ini.

“Adalah tidak tepat untuk mengatakan parti seolah-olah tidak bertindak sedangkan tindakan telah pun dimulakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahmad Syukri lagi, dia yakin Zuraida cukup arif mengenai tatacara PKR mengurus keputusan dan tindakan.

Jelasnya, parti itu sentiasa berdiri di atas prinsip keadilan dan kesaksamaan.

“Justeru perkara pertama yang perlu diperbetulkan dalam kenyataan Zuraida ini adalah keputusan berkaitan kes Haziq bukan dibuat semata-mata dibuat oleh presiden, tetapi dicapai secara konsensus dalam mesyuarat Biro Politik PRK,” katanya.

Terdahulu, Zuraida yang juga anggota parlimen Ampang berkata jika beliau menjadi presiden parti itu, sudah lama Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat.

“Nasib baik bukan saya jadi presiden, kalau saya presiden saya dah pecat dah (Haziq).

“Sebab saya memang tegas kata suruh pecat (Haziq), tapi parti nak ikut proses, biarlah dia ikut proses,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jalinan Mesra Menteri KPKT bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Haziq berdepan surat tunjuk sebab dari PKR selepas dia mengaku dirinya adalah salah seorang individu dalam klip video lucah berkenaan.

Haziq juga melemparkan tuduhan bahawa Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali merupakan individu yang bersamanya dalam klip video seks sejenis itu.

Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai satu fitnah dan komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Sementara itu Ahmad Syukri menyifatkan kenyataan Zuraida secara terbuka di media itu seolah-olah merendahkan keputusan yang dibuat parti.

“Zuraida perlu membuktikan yang beliau tidak terlibat dalam keputusan yang telah dibuat. Zuraida juga perlu membuktikan yang beliau disisihkan atau dihalang daripada bersuara dalam proses membuat keputusan.

“Tetapi hakikatnya, Zuraida merupakan sebahagian daripada kepimpinan Biro Politik PKR yang secara sebulat suara telah bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh parti berkaitan kes Haziq.

“Ini dinyatakan sendiri oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail melalui satu kenyataan media pada 20 Jun lalu,” katanya.

Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.