Tewas pilihan raya datuk bandar, Erdogan terima tamparan hebat

Spread the love

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menerima tamparan hebat semalam apabila calon pembangkang memenangi pilihan raya datuk bandar Istanbul yang penuh kontroversi susulan terpaksa diadakan semula.

Ekrem Imamoglu memenangi pilihan raya pertama yang diadakan Mac lalu dengan kemenangan tipis 13,000 undi di bandar 15 juta penduduk itu.

Namun selepas kemenangan terbabit dibatalkan atas dakwaan berlaku penipuan, beliau berikrar akan memperjuangkan sistem demokrasi yang katanya dicabuli pihak tertentu.

Dengan lebih 99 peratus undi sudah dikira malam Ahad, Imamoglu memenangi pilihan raya selepas meraih lebih 775,000 undi dan 54 peratus jumlah keseluruhan.

“Ia bukan kumpulan atau parti persendirian, tetapi keseluruhan Istanbul dan Turki memenangi pilihan raya ini.

“Tuan Presiden, saya sedia bekerja dengan anda secara penuh harmoni. Dari sini saya memohon untuk bertemu dengan anda pada kadar segera,” katanya dalam ucapan kemenangan.

Erdogan mengundi di Istanbul, semalam. – Foto EPA

Pengkritik menuduh Erdogan enggan memberikan kuasa mengawal Istanbul yang juga kuasa ekonomi Turki dan sumber kekuatan konservatif Islam sejak beliau memenangi pilihan raya datuk bandar suku abad lalu.

Imamoglu bagaimanapun yang hanya dikenali sebagai datuk bandar daerah awal tahun ini, berjaya menawan hati sejumlah besar pengundi menerusi kempen positif di bawah slogan ‘Semuanya akan menjadi baik’.

Ia amat berlawanan dengan kempen agresif Turki yang sering dilihat melabelkan pesaing dengan pelbagai gelaran kurang manis dan bergaduh bersama pengundi.

Beliau berdepan saingan AKP yang memerintah Turki sejak tahun 2002 dan kekal sebagai kuasa politik paling popular seluruh negara. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.