Padah menyundal guna akaun Mirra

Spread the love

AKIBAT menggunakan WeChat untuk aktiviti persundalan, suami isteri berdepan hukuman penjara dan denda tidak lebih RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Saruddin Basri, 23 dan Noor Shahfizan Shamsudin, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Razali Ariffin.

Razali bagaimanapun menetapkan tarikh jatuh hukum pada 23 Julai depan dan pasangan terbabit terpaksa meringkuk di dalam penjara sementara menunggu hukuman.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu mengaku secara sedar menggunakan aplikasi terbabit atas akaun Mirra untuk memberikan komunikasi lucah bagi tujuan komersial.

Kesalahan itu dilakukan mereka di Flat Cempaka, Persiaran Bukit Raja, dekat Klang, 3 petang, pada 4 Disember lalu.

Berikutan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah berkata, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin kerana tertuduh sebelum ini tidak mempunyai alamat yang tetap sehingga polis sukar menjejakinya.

“Kedua-dua tertuduh sudah dua kali membuat laporan polis sebelum ini namun alamat yang dinyatakan bukan tempat tinggal mereka,” katanya.

Hafizah juga memohon agar hukuman ditetapkan pada tarikh lain sementara menunggu laporan forensik mengenai telefon bimbit digunakan kedua-dua tertuduh untuk pertuduhan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.