‘Tak hormat keputusan parti, Zuraida boleh angkat kaki’

Spread the love

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin boleh “angkat kaki keluar dari parti” jika tidak lagi menghormati keputusan bersama yang dibuat parti, kata Naib Ketua Wanita PKR Faizah Ariffin.

Beliau mengulas kenyataan Zuraida bahawa jika beliau menjadi presiden parti itu, sudah lama Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat.

“Nasib baik bukan saya jadi presiden, kalau saya presiden saya dah pecat dah (Haziq). Sebab saya memang tegas kata suruh pecat (Haziq), tapi parti nak ikut proses, biarlah dia ikut proses,” katanya semalam.

Faizah mempersoalkan kenyataan Zuraida antaranya memandangkan bekas ketua wanita PKR itu sendiri hadir ke mesyuarat biro politik parti itu yang membincangkan isu video seks yang mengaitkan timbalan presiden Mohamed Azmin Ali itu.

Sumber mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Zuraida setuju dengan keputusan dalam mesyuarat Biro Politik PKR minggu lalu.

“Sebagai pemimpin beliau seharusnya senada bagi mempertahankan keputusan mesyuarat. Saya musykil apakah Zuraida tidak berfungsi alam mesyuarat atau hanya menyuarakan rasa tidak puas hati atas keputusan yang dibuat bersama?

“Apa sebenarnya yang beliau mahu dan mengapa berperangai seperti ‘mak lampir’ tak bertuan? Mengapa beliau terlalu biadab sehingga tidak mahu patuh kepada kata sepakat yang dia sendiri terlibat? Adakah beliau berasa sudah cukup besar kepala sekarang?

“Ia tak boleh dibiarkan dan perlu diambil tindakan tata tertib. Tindakannya jelas tidak menghormati parti dan sudah tiba masanya untuk beliau angkat kaki keluar daripada parti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan pengakuan Haziq sebagai individu yang dirakam dalam video seks itu, PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya pada 19 Jun lalu dan keputusan itu kemudian dipersetujui biro politik secara konsensus.

Haziq diberi masa 14 hari untuk berbuat demikian.

Sebelum ini, Haziq juga dipecat daripada jawatan setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri industri utama beberapa hari selepas menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kementerian itu.

Sementara itu, Faizah berkata setiap perlakuan sumbang manusia yang melibatkan skandal akan berakhir dengan tragedi.

“Siapa sahaja pasangan Haziq yang sebenarnya akan ditentukan oleh pihak berkuasa atau akan dicerminkan oleh Allah suatu hari kelak,” katanya lagi.

Perkara ini masih dalam siasatan polis dan Azmin menafikan dakwaan itu sambil menyifatkan ia percubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.