‘Tangan ini sudah boleh ‘pangkah’ UMNO’

Spread the love

Akar umbi Pas tidak kisah untuk memberi undi kepada UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas kedua-dua parti itu secara rasmi memeterai kerjasama rasmi.

Malah mereka juga bersedia menjadi jentera dalam usaha membantu kemenangan UMNO di mana-mana kawasan yang tidak ditandingi oleh Pas dalam pilihan raya akan datang.

Seorang penyokong Pas, Norsham Kamis, 35, berkata, dia tidak pernah mengundi UMNO atau Barisan Nasional (BN) selama ini namun bersedia untuk menyokong mereka jika kawasannya iaitu di Parlimen Arau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji disertai parti tersebut.

Kata peniaga itu, apa yang lebih penting adalah untuk mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal mentadbir negara dengan baik.

“Pada mulanya agak keberatan melihat kerjasama itu (Pas dan UMNO) namun semakin hari, keikhlasan itu datang sendiri dan kami (akar umbi) sudah terbuka menyokong kerjasama itu.

“Di Perlis, jika Pas dan UMNO bergabung, dilihat tidak ada masalah untuk gabungan itu menyampu bersih semua 18 kerusi di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Pahang yang berakhir Ahad lalu memuktamadkan secara rasmi kerjasama politik dengan UMNO yang sekali gus mengulangi sejarah politik pada 1978.

Di Perlis, hanya empat kawasan dimenangi oleh PH dalam pilihan raya lalu iaitu DUN Sena; Kuala Perlis, Indera Kayangan dan Parlimen Kangar dengan majoriti rata-rata di bawah 6, 000 undi.

Di atas kertas jika dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu bergabung, boleh dikatakan mereka boleh menyapu bersih kesemua 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen di negeri ini.

Sementara itu, seorang lagi penyokong Pas, Fauzi Mustapa, 35, berkata, kekalahan BN dalam pilihan raya lalu merupakan hikmah besar apabila Melayu Islam kini bersatu di bawah penyatuan UMNO dan Pas.

“Insya-Allah PRU-15 gabungan Pas dan UMNO akan mencapai kemenangan. Saya sendiri akan pangkah UMNO jika kawasan saya diletakkan calon dari parti berkenaan,” katanya.

Nor Irwan Kamis, 39, penyokong Pas dari Arau pula berharap agar hubungan Pas dan UMNO berkekalan demi kepentingan ummah selepas sekian lama penyokong kedua-dua parti itu bertelagah.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.