Zuraida ikut sama buat keputusan – Saifuddin Nasution

Spread the love

Keputusan Lembaga Disiplin PKR untuk tidak memecat Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abd. Aziz dibuat secara kolektif dan turut melibatkan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Zuraida terlibat dalam mesyuarat yang membincangkan isu pengakuan terbuka Haziq Abdullah Abd. Aziz terlibat dalam video seks bersama lelaki mirip seorang menteri, didakwanya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jelas beliau, isu itu dibentangkan oleh Lembaga Disiplin parti dan dibincangkan secara pro dan kontra dengan parti akhirnya membuat keputusan secara kolektif untuk tidak memecat Haqiz Abdullah.

“Komen saya berasas kepada biro disiplin membuat keputusan ikut membabitkan Zuraida sendiri.

“Sangat jelas, (isu) dibentang oleh Lembaga Disiplin, dibahaskan ada yang pro dan kontra, akhirnya dipersetujui bersama.

“Jadi, adalah lebih baik keputusan itu dihormati sebab kita (Zuraida) adalah pihak yang ikut sama membuat keputusan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bil. 3/2019 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Saifuddin Nasution diminta mengulas kenyataan Zuraida semalam bahawa beliau akan memecat Haziq Abdullah jika beliau adalah Presiden PKR.

“Nasib baik bukan saya presiden, kalau tidak, saya dah pecat dia(Haziq),” kata Zuraida.

Tegas Zuraida, pendiriannya amat jelas iaitu pimpinan parti perlu memecat Haziq Abdullah, namun barisan pemimpin PKR masih mahu mengikut perlembagaan parti termasuk meminta lelaki itu memberi surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari.

Ditanya sama ada tindakan disiplin akan dikenakan ke atas Zuraida berikutan kenyataan beliau itu, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik yang akan datang.

“Kita ada mesyuarat mingguan, hari Rabu. Kita belum buat mesyuarat (belum ada apa-apa tindakan),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.