Mata wang RM6.356 juta dalam bonet

Spread the love

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan cubaan penyeludupan keluar beberapa jenis mata wang membabitkan nilai tertinggi di seluruh negara tahun ini berjumlah RM6.356 juta di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, Iskandar Puteri, 18 Jun lalu.

Pengarah JKDM Johor, Datuk Mohammad Hamidan Maryani berkata, mata wang berkenaan ditemui di dalam empat kotak di bonet kereta dinaiki dua lelaki.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kereta itu dilakukan berdasarkan maklumat daripada Cawangan Risikan Zon Selatan.

“Anggota penguatkuasa memberi arahan supaya membuka kotak ditemui sebelum mendapati ia mengandungi mata wang Ringgit Malaysia, Dollar Singapura dan Dolar Amerika Syarikat.

“Ia termasuk RM6,075,000, S$10,000 (RM30,505) dan AS$60,000 (RM250,890) berjumlah keseluruhan RM6.356 juta,” katanya pada sidang media di Menara JKDM Johor di Johor Bahru, hari ini.

Mohammad Hamidan berkata, dua lelaki yang menaiki kereta berkenaan ditahan, warga tempatan berusia 25 dan 26 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 28B(1) bersama Seksyen 86A(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohammad Hamidan berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 Jun lalu.

Sementara itu, Mohammad Hamidan berkata, dalam kes berasingan, JKDM Johor juga mematahkan cubaan penyeludupan masuk membabitkan mata wang RM207,000 pada 14 Jun lalu di Terminal Penumpang Feri Bandar Maharani Bandar Diraja Muar.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menerusi imej mesin pengimbas terhadap bagasi milik seorang warga Indonesia mendapati menimbulkan keraguan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan rapi menemui wang tunai RM207,000.

“Lelaki berkenaan berusia 29 tahun dan ditahan reman mulai 15 Jun hingga 28 Jun ini bagi membantu siasatan.

“Tujuannya membawa masuk mata wang berkenaan juga masih dalam siasatan,” katanya.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.