Tian Chua: Pertahan Azmin seperti bela Anwar dulu

Spread the love

Naib Presiden PKR Tian Chua menggesa ahli dan pemimpin partinya untuk berdiri teguh di belakang Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang dituduh terlibat dalam skandal video seks sejenis.

Jelas Tian Chua, PKR kini perlu bersatu menghadapi unsur yang menurutnya cuba menjejaskan pemimpin parti dengan taktik sama yang pernah digunakan terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 1998 dan 2013.

Tian Chua berkata demikian sebagai merujuk kontroversi video seks sejenis yang didakwa melibatkan Azmin.

“Kita perlu berdiri bersama, bukan hanya untuk menunjukkan sokongan atau simpati kepada Azmin tapi juga bagi menegaskan titik mula perjuangan reformasi parti, kita perlu kenang hari ketika Anwar menjadi mangsa politik longkang,” kata Tian Chua selepas merasmikan cabang PKR baru di Bagan Ajam, Pulau Pinang.

“PKR perlu bangkit untuk menyelamatkan Malaysia dari politik longkang, orang awam muak dan penat dengan semua ini serta mahu melihat Malaysia yang bersih, bukan saja bersih dari pencemaran plastik dan rasuah tapi juga tidak menggunakan skandal atau menakut-nakutkan dengan khabar angin dan politik kotor bagi mencapai tujuan politik.

“Kita perlu pertahankan Azmin sebagaimana kita pertahankan Anwar sebelum ini, kerana ini bukan kali pertama Azmin diserang dengan tuduhan liar, dia juga menjadi sasaran ketika mempertahankan Anwar,” kata Tian Chua.

Tian Chua sebelum itu ditanya pemberita sama ada beliau akan menggesa moratorium (sekatan sementara) terhadap anggota parti yang saling mengecam secara terbuka berhubung kontroversi klip video seks yang tular.

Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz pada 12 Jun lalu menggemparkan pentas politik apabila tampil mengaku dirinya adalah individu dalam klip video seks sejenis yang tular.

Haziq juga mendakwa Azmin merupakan individu bersamanya dalam klip video itu. Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pemimpin PKR dilihat menyokong Haziq dan sama ada beliau menyokong hesaan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin agar Haziq dipecat, Tian Chua berkata: “Dia (Haziq) tidak layak berada di dalam parti.”

“Namun, ada proses yang perlu dipatuhi parti, sebelum tindakan boleh diambil terhadapnya, ada undang-undang yang perlu dipatuhi apabila melibatkan anggota parti”.

Tian Chua menegaskan pendirian PKR dengan mengatakan bahawa tindakan Haziq bermotifkan politik.

Bekas ahli parlimen Batu itu juga berikrar untuk menolak politik longkang dan berkata bahawa beliau tidak akan menyertai PKR atau “berkorban” 20 tahun untuk perjuangan reformasi sekiranya taktik sama dibenarkan digunakan ke atas pemimpin parti sekali lagi.

Tambah Tian Chua, PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Haziq bukan hanya kerana dia mengaku sebagai individu dalam klip video itu dan menuduh Azmin terlibat.

Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.