Dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 petang itu, mayat mangsa, Loo Nyak Sing, 71, ditemui di dalam bilik di tingkat atas rumah dua tingkat oleh anaknya yang datang melawat mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati terdapat kesan kelar pada belakang badan dan peha mangsa.

“Kita tidak menolak kemungkinan berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.

“Pasukan forensik bagaimanapun masih menyiasat sama ada berlaku kehilangan barang-barang milik mangsa di rumah tersebut dan akan meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu dan menjadi rutin anak-anaknya untuk melawat mangsa sekitar pukul 3 hingga 4 petang setiap hari.

“Ketika anak mangsa datang ke rumah tersebut hari ini, dia mendapati kesan darah dari tingkat bawah serta tingkat atas rumah berkenaan.

“Mangsa ditemui di dalam salah sebuah bilik di tingkat atas dalam keadaan tangan serta kaki diikat dan kita percaya kejadian ini merupakan kes samun dan bunuh,” katanya lagi.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE