Guan Eng perlu berhenti ambil alih tugas SPRM – Gerakan

Spread the love

Parti Gerakan mempersoal tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengatakan tiga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) tidak menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan seterusnya tidak perlu disiasat.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai malah menegaskan Guan Eng tiada hak untuk mengatakan sedemikian dan seharusnya membiarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat keputusan dengan profesional.

Dominic secara sinis turut mengatakan Guan Eng patut kembali memainkan peranan sebagai Menteri Kewangan, bukannya masuk campur urusan SPRM dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak perlu disiasat.

“Kita tidak kata ketiga-tiga pemimpin itu mengambil duit 1MDB tapi kita mahu siasatan yang telus dijalankan kerana mereka yang memimpin UMNO negeri masing-masing ketika itu. Jadi, mereka individu yang bertanggungjawab.

“Saya tak faham apa asas kepada jawapan Guan Eng seolah-olah siapa yang menyertai PH bebas daripada siasatan. Kalau macam itu, saya mencadangkan semua 41 entiti dan individu yang berada dalam senarai SPRM itu menyertai PH supaya mereka tidak perlu disiasat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Guan Eng selepas mempengerusikan Majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam dilaporkan berkata Muhyiddin, Mukhriz dan Mohd. Shafie yang masing-masing sebelum ini mengetuai UMNO Kedah, UMNO Johor dan UMNO Sabah tidak menerima wang 1MDB dalam akaun peribadi mereka.

Guan Eng turut mempertikaikan mengapa Dominic tidak bersuara ketika dana 1MDB ditemui dalam akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.