Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia hari ini menolak permohonan Prabowo Subianto, calon Pilpres 2019 yang memfailkan petisyen membantah keputusan Pilpres 2019 yang diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU).

Keputusan itu dibacakan Ketua Hakim Anwar Usman pada pukul 9.16 malam ini.

Jokowi dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui televisyen tempatan berkata, keputusan MK adalah sesuatu yang muktamad dan meminta seluruh rakyat Indonesia kembali bersatu.

Dalam pada itu, Prabowo dalam sidang akhbar yang turut disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan berkata, beliau kecewa, namun menghormati keputusan MK itu dan meminta semua pihak tidak mencetuskan kekecohan atau tindakan yang boleh menjejaskan keamanan.

Presiden Jokowi, sebelum ini diumumkan memenangi Pilpres 2019 oleh KPU pada 21 Mei lepas, namun Prabowo yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di MK.

Selepas keputusan KPU pada 21 dan 22 Mei lepas, turut mencetuskan beberapa siri insiden rusuhan di Jakarta, oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengn keputusan berkenaan. – Bernama