Pejuang hak asasi membisu ketika menteri dikecam kerana kem tahanan Uyghur

Spread the love

PETALING JAYA: Aktivis dan kumpulan hak asasi manusia yang biasanya lantang, mengelak daripada mengulas ketika ditanya mengenai kenyataan seorang menteri yang nampak seperti menyokong propaganda China berkenaan satu kem yang ditubuhkan untuk “mendidik semula” penentang di wilayah Xinjiang.

Kecuali Amnesty International yang secara terbuka mengkritik Mujahid Yusof Rawa mengenai penggunaan perkataan “pusat latihan”, istilah China untuk sesuatu yang dikecam serata dunia sebagai kem tahanan, pertubuhan hak asasi dan aktivis terkenal lain yang dihubungi FMT enggan mengulas.

Perkembangan ini selepas aktivis Islam, Dr Ahmad Farouk Musa menuduh Mujahid mengulangi propaganda Beijing.

Amnesty pula berkata banyak laporan yang buruk mengenai kem-kem itu disokong oleh siasatan ke atasnya.

“Di kem-kem itu, mereka dikenakan indoktrinasi politik, dipaksa meninggalkan agama, dianiaya dan dalam beberapa kes, didera. Kem-kem itu bukanlah ‘institusi latihan dan vokasional’ seperti yang dilawati menteri itu,” kata Pengarah Eksekutif Amnesty Malaysia Shamini Darshni Kaliemuthu.

Mujahid, menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam, baru-baru ini mengetuai delegasi kerajaan ke Xinjiang, di mana kaum Uyghur beragama Islam menentang dasar-dasar parti Komunis China, termasuk sekatan ke atas amalan beragama sejak berdekad lama.

“Pusat ini menjalankan aktiviti latihan perindustrian dengan pelbagai kemahiran seperti menjahit, kelas perundangan, seni, gubahan bunga dan sebagainya,” katanya di Facebook, bersama gambar lawatannya.

Sekumpulan tahanan di sebuah ‘pusat tahanan’ di Xinjiang yang dilawati Mujahid Yusof Rawa. (Gambar Facebook)

Catatan itu mengundang bidasan daripada warga Facebook.

“Dua kemungkinan sahaja status ini: terlalu naif dan jahil dengan isu semasa atau jahat dan bersekongkol dengan kezaliman China ke atas Uyghur yang beragama Islam,” kata seorang pengguna, Zaizul Zaman.

Pengguna lain berkongsi dokumentari BBC yang menyingkap sedikit program-program indoktrinasi yang dijalankan kakitangan kerajaan ke atas tahanan, yang ditempatkan dalam bangunan dikelilingi tembok tinggi dan pagar dawai berduri.

“Tak boleh pakai tudung, tak boleh mengaji, kena turunkan papan tanda bahasa Arab, tak boleh salat jemaah, tak boleh puasa…kalau dah semua tak boleh, di mana rahmatan lil alaminnya?” kata seorang pengguna, Nor Farizan mencemuh slogan yang dipromosikan Mujahid sejak dilantik sebagai menteri hal ehwal Islam.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 2 aktivis yang menjawab pertanyaan FMT memberikan pandangan berbeza terhadap lawatan Mujahid itu.

Peguam, Lim Wei Jiet, seorang penyokong hak asasi manusia, meminta pemimpin Malaysia lebih berhati-hati mengenai nasib etnik Uyghur di China.

“Terdapat badan-badan antarabangsa yang boleh dipercayai, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang melaporkan pencabulan hak asasi manusia yang dialami sekitar 1 juta orang Uyghur yang ditahan di ‘kem-kem pendidikan semula’ itu,” katanya.

“Kita ada tanggungjawab untuk bersuara mengenai penindasan hak asasi manusia, dan tidak cuba mengesahkan penindasan itu – tanpa disedari atau sebaliknya.”

Sementara aktivis, Chandra Muzaffar pula berkata, isu Xinjiang rumit, dan menambah ia dieksploit oleh kedua-dua propaganda Barat dan China.

“Kita harus ingat, selain propaganda China terdapat juga propaganda Barat,” katanya.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk China lebih terbuka dalam membenarkan pemerhati bebas ke pusat-pusat itu.

“Tetapi ini tidak secara automatik bermakna ia kem tahanan.”

Badan-badan hak asasi sekian lama menuduh China bertindak keras terhadap penentangan di Xinjiang dengan alasan melawan ekstremisme orang Islam.

Beijing pernah menafikan pendedahan mengenai kewujudan kem-kem tahanan seperti itu, tetapi kemudian berkata, ia adalah “pusat-pusat vokasional” untuk “menyelamatkan” orang Uyghur daripada pengaruh pelampau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.