Bantah kekejaman terhadap orang Islam di India

Spread the love

NEW DELHI – Protes besar-besaran diadakan di India selepas insiden pembunuhan kejam seorang lelaki Islam di negara itu.

Tabrez Ansari, 24, yang didakwa mencuri dipukul hingga mati oleh kumpulan pelampau Hindu di daerah Kharsawan di negeri Jharkhand. Demonstrasi tersebut diadakan di 50 bandar di bawah hashtag #JusticeForTabrez dan #IndiaAgaintsLynchTerror.

Di New Delhi, sekumpulan penunjuk perasaan termasuk penuntut universiti dan aktivis mengadakan bantahan di Jantar Mantar berhampiran bangunan Parlimen.Mereka turut melaungkan slogan dan membawa plakad menuntut parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) dan Perdana Menteri, Narendra Modi menghentikan keganasan ke atas orang Islam.

“Kekejaman ke atas orang Islam perlu dihentikan. Kerajaan perlu faham kami tidak akan bertoleransi dengan keganasan seperti ini,” kata jurucakap kumpulan protes tersebut.

Rakaman video yang menjadi tular di media sosial menunjukkan Tabrez diikat pada tiang lampu dan dipukul tanpa belas kasihan sebelum pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian.

Dia juga dipaksa melaungkan slogan keagamaan yang biasa disebut oleh kumpulan berhaluan kanan penganut Hindu.

Polis kemudiannya membawa Tabrez ke hospital untuk mendapatkan rawatan kira-kira empat hari selepas insiden itu yang berlaku pada 18 Jun lalu. Dia disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa telah memberkas 11 penduduk kampung dan dua anggota turut digantung tugas.

“Ia adalah situasi yang menakutkan bagi orang Islam. Terdapat rancangan jahat pihak tertentu yang mahu memecah-belahkan penduduk dengan menggunakan isu agama,” kata penunjuk perasaan, Sana Maryam. – Agensi

Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.