Keadaan kesihatan Tun Abdullah baik

Spread the love

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi berada dalam keadaan sihat dan masih aktif memenuhi jemputan daripada pelbagai pihak.

Pegawai Khasnya, Datuk Jefridin Atan berkata, meskipun Abdullah sudah berusia 80 tahun namun beliau masih mampu menghadiri program yang melibatkan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi).

“Terbaru, Tun Abdullah akan menghadiri forum tentang Ketamadunan Islam di Asia yang akan diadakan di Spain pada 5 September depan.

“Cuma hari ini (semalam) beliau tidak dapat bersama kita pada sambutan Aidilfitri anjuran Legasi kerana keuzuran mungkin keletihan melayan tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Namun keseluruhannya, keadaan kesihatan Tun (Abdullah) dalam keadaan baik,” katanya kepada media di sini hari ini.

Jefridin yang juga Pengerusi Legasi berkata, semalam, pertubuhan itu turut meraikan 40 anak yatim dari pusat jagaan anak yatim dan miskin Rumah Rukayyah Sungai Merab, Bangi.

Kumpulan anak yatim tersebut turut menerima sumbangan duit raya dan barangan keperluan harian yang disampaikan anak Abdullah, Tan Sri Kamaludin.

Legasi merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selain membantu golongan yang memerlukan, turut menganjurkan program-program bersifat ilmiah dan advokasi seperti forum, simposium dan syarahan umum dalam dan luar negara. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.