Bagaimanapun, Saifuddin berkata, kerajaan masih berpegang kepada pendirian asal iaitu tidak akan menghantar Zakir pulang ke negara asalnya.

“Nota (permohonan mengekstradisi) daripada kerajaan India sudah diterima, saya tidak ingat bila, tetapi kita sudah terima. Buat masa ini, kita tidak ada keputusan baharu, masih dengan keputusan asal,” katanya semasa ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bahawa Malaysia bertegas tidak akan membenarkan ekstradisi Zakir.

Saifuddin berkata demikian selepas melancarkan buku berjudul Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing: Melewati Pertukaran Rejim tulisan Muhammad Takiyuddin Ismail terbitan Universiti Malaya (UM) Press di sini, hari ini.

Malaysia sebelum ini menyatakan pendirian bahawa negara mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahan Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram di India. – Bernama