Pendirian itu disuarakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut mengkritik penggunaan terma ‘pusat latihan’ digunakan Mujahid yang dianggap sebagai ‘sokongan’ kepada dasar penindasan umat Islam di Xinjiang.

Khaled menegaskan, Mujahid seharusnya menyampaikan rasa prihatin, kesal dan protes yang sangat mendalam dalam diri umat Islam seluruh dunia terhadap apa yang berlaku di wilayah berkenaan.

“Tiada ‘pusat latihan’ di Xinjiang. Yang ada hanyalah kem tahanan mempunyai satu tujuan sahaja iaitu menghapuskan identiti, kepercayaan dan budaya golongan minoriti seperti Uighur, Kazakh, Tajik dan lain-lain.

“Tindakan beliau bukan sahaja sangat memalukan tetapi melukakan hati umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia. Jika perkara ini tidak dijelaskan boleh ditafsirkan sebagai pendirian Malaysia dan pendirian seumpama ini adalah sangat jelek serta tidak boleh diterima daripada sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Sehubungan itu, saya mendesak Kementerian Luar menjelaskan pendirian sebenar kerajaan PH dalam perkara ini. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan tindakan Mujahid ditafsirkan sebagai pendirian rasmi negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan Mujahid dalam akaun Facebook miliknya, Rabu lalu yang mengatakan beliau dibawa melawat pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uighur di Xinjiang seolah-olah hidup dengan harmoni tanpa ditindas mencetuskan kritikan warga maya.

Mujahid sekali lagi menimbulkan kecaman ramai semasa berucap di Universiti Pengajian Luar Beijing semalam, apabila menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu’. – UTUSAN ONLINE