Pulangkan wang 1MDB – Guan Eng

Spread the love

BUTTERWORTH: Kementerian Kewangan menyarankan mana-mana pihak yang pernah menerima wang atau dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) supaya menghubungi kementerian itu untuk urusan pemulangan wang terbabit.

Menterinya, Lim Guan Eng, berkata kementerian juga sudah menubuhkan satu akaun khas bagi mengumpulkan semua dana atau wang yang diterima berkaitan 1MDB.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima, dana 1MDB ini disalurkan kepada ramai pihak. Langkah terbaik adalah untuk menghubungi Kementerian Kewangan dan memulangkan dana terbabit.

“Sama ada mereka bakal disiasat atau tidak, terserah kepada SPRM, namun memulangkan wang itu membuktikan keikhlasan (kepada negara),” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan di Pusat Khidmat Parlimen Bagan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan 41 pihak termasuk syarikat, persatuan dan individu antara yang menerima sumbangan dana 1MDB.

Guan Eng berkata, tiga persatuan pengamal media berbahasa Cina di Pulau Pinang menerima RM50,000 setiap satu, daripada dana 1MDB.

“Tiga persatuan itu ialah Penang Press Club, Penang Chinese Reporters dan Photographers Association serta Journalist Union of North Malaysia.

“Rekod kami jelas membuktikan mereka adalah penerima dana 1MDB, malah mereka juga tidak menafikannya. Mereka mungkin pada asalnya tidak tahu dana itu kepunyaan 1MDB, tetapi sekarang saya berpendapat mereka perlu pulangkan wang itu,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, tindakan pembangkang yang meminta kerajaan menyiasat beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana pernah menerima dana 1MDB, adalah mengarut dan tidak masuk akal.

“Tidak masuk akal untuk kita minta mereka pulangkan wang yang tidak pernah mereka dapat daripada 1MDB,” katanya.

Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.