Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Johor, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, arahan ini turut melibatkan 14 buah sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika selain tiga institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, satu pasukan petugas akan digerakkan ke sekolah-sekolah yang pernah terjejas untuk diberikan sesi taklimat keselamatan serta pencegahan.

“Sesi taklimat ini akan dilakukan pada perhimpunan dan semua agensi yang terlibat telah berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku kecemasan.

“Sehingga pukul 12 tengah hari ini, tiada lagi pesakit baharu dilaporkan dan jumlah keseluruhan mangsa berada di dalam wad Hospital Sultan Ismail (HSI) masih kekal seorang mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini hari ini.

Mohd. Khuzzan berkata, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menempatkan alat pengesan gas serta alat pengukur kualiti udara dalam radius yang lebih luas di sekitar Pasir Gudang.

Jelasnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan menjejaki dan penyiasatan ke atas 72 premis industri di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – K! ONLINE