Tak payah bawa masuk warga Afrika – PM

Spread the love

LANGKAWI: Pengambilan tenaga kerja dari Afrika bagi sektor perladangan di negara ini masih di peringkat cadangan dan belum dimuktamadkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita belum buat apa-apa pemilihan (keputusan) pun setakat ini. Hanya cadangan sahaja kerana saya berpendapat orang di Malaysia ramai, jadi tak payahlah bawa masuk warga asing (Afrika),” kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri kawasan Parlimen berkenaan di Kompleks Sukan Langkawi, hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusuia, M Kulasegaran dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor perladangan pada masa akan datang.

Menteri itu yang ditemui pemberita selepas sesi dialog dengan peladang Cameron Highlands, berkata ini kerana pekerja dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi bekerja di Malaysia disebabkan gaji diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata, rakyat perlu bersyukur kerana dapat menyambut hari raya dalam keadaan tenang, aman dan tiada permusuhan walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Di negara Islam lain, mereka tiada rumah terbuka sebaliknya berperang sesama mereka sehingga ‘hancur’ negara, ribuan terbunuh dan cedera. Itu cara mereka meraikan hari raya dan malang buat mereka.

“Malah, kita juga patut bersyukur kerana negara kita terlindung daripada malapetaka.

“Kadang-kadang sahaja kita dilanda bencana, tetapi tidaklah sampai terjadi seperti di Filipina yang berdepan lapan kali taufan setiap tahun,” ujarnya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.