Tanpa Mahathir, PH tidak akan jadi kerajaan

Spread the love

UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu kerana rakyat percayakan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika itu rakyat yakin dan percaya Dr. Mahathir boleh membawa negara ini sebagaimana beliau lakukan ketika menjadi Perdana Menteri keempat dahulu.

“Rakyat percaya Dr. Mahathir yang pakai baju merah seperti UMNO akan membawa roh UMNO ketika dia menjadi perdana menteri ketujuh.

“Malangnya, semua harapan mereka tidak benar, Dr. Mahathir yang mereka lihat hari ini adalah perdana menteri ketujuh, bukan perdana menteri yang keempat,” katanya pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang, semalam.

Mesyuarat itu dirasmikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Azalina, beliau juga percaya kalau tidak kerana Dr. Mahathir menawarkan diri untuk bersama Pakatan Harapan (PH), parti gabungan PKR, DAP, PPBM dan Parti Amanah Negara (PAN) itu tidak akan menang mejadi kerajaan seperti sekarang.

Katanya, PH menang kerana rakyat masih ingat kepada jasa Dr. Mahathir ketika memerintah Malaysia dari tahun 1981 hingga 2003.

“Kerana percaya kepadanya, bukan sahaja rakyat, anggota polis dan tentera pun turut sabotaj undi UMNO dan BN ketika itu,” katanya.

Kata Azalina, UMNO dan BN akan menghadapi cabaran paling besar pada PRU 15 akan datang, berikutan parti itu berdepan dengan usaha untuk mengharamkannya.

Beliau menjelaskan, pengharaman itu dikatakan atas kehendak Dr. Mahathir yang kini disifatkan sebagai gila talak kepada UMNO.

“Dia sudah cerai UMNO dengan talak tiga. Kalau nak sertai UMNO semula, dia kena ‘cina buta’.

“Takkan dia nak ‘cina buta’, ini akan memalukan dia. Dengan itu, dia akan haramkan UMNO. Bila sudah diharamkan, UMNO baharu akan ditubuh. Dia boleh menyertai semula UMNO baharu.

“Itu motif yang saya nampak,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.