Kerajaan akan membalas budi rakyat yang memilih Pakatan Harapan – PM

Spread the love

KULIM: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan membalas budi rakyat yang memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan pada pilihan raya umum yang lalu.

Perdana Menteri berkata, satu dasar baharu diperkenalkan kerajaan untuk membalas budi rakyat dan dasar itu menumpukan kepada kemakmuran bersama.

“PH sudah berjanji untuk berkongsi bersama segala kekayaan negara dan kerajaan memperkenalkan dasar baharu iaitu kemakmuran bersama.

“Inilah hajat, kita akan tentukan dan tiada sesiapa tertinggal… kalau mereka sanggup membuat kerja tertentu yang dirancang oleh kerajaan.

“Sektor pertanian yang ada begitu banyak rakyat miskin akan ada pendekatan baharu, luar bandar akan menikmati kemakmuran sama seperti dalam bandar, itulah janji kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Peringkat Nasional di Dewan Konvensyen MBI Desaku, di sini, malam ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU turut ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hadir ke majlis yang dihadiri lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum, bermula jam 7 petang hingga 11 malam.

Yang turut hadir, Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dr Mahathir berkata, banyak perkara yang dipulihkan PH walaupun banyak pihak mendakwa tiada pencapaian sepanjang PH menjadi kerajaan.

“Tak mungkin kita lihat negara ini aman jika tidak kerana dasar dan pendekatan PH. Kita selesaikan masalah peninggalan parti yang lama. Kita percaya tak lama lagi keadaan negara kita akan pulih.

“Pemerintahan ini walaupun dikatakan tidak cekap tetapi lebih cekap daripada dahulu dan dengan penghapusan rasuah, negara akan lebih maju dan rakyat akan hidup lebih sempurna,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.