“Kami sudah membe­ritahu pengarah-pengarah sekolah dan datuk bandar untuk membuat keputusan menutup sekolah mengikut pertimbangan sewajarnya. Sebanyak 4,000 sekolah pada ketika ini sudah ditutup,” kata Philippe kelmarin.

“Melihat pada episod gelombang haba semasa, semua penduduk perlu beri perhatian, menghormati saranan dikeluarkan dan sentiasa berjaga-jaga untuk diri sendiri, keluarga dan kejiranan masing-masing,” tambahnya selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas berkaitan cuaca panas.

Suhu tinggi di Sahara menyebabkan tiupan angin panas luar biasa ke Perancis dengan beberapa kawasan dilaporkan bakal mencatat suhu sehingga 40 darjah Celsius terma­suk Paris dan sejumlah bandar raya sepanjang minggu ini.

Pada tengah hari kelmarin, suhu tertinggi direkodkan mencecah 45.9 darjah Celsius di bandar Gallargues-le-Montueux. Rekod yang dicatatkan sebelum ini ialah 41.5 darjah Celsius di Narbonne, selatan Perancis pada Jun 2003.

Jabatan perkhidmatan cuaca kelmarin mengekalkan satu amaran peringkat merah untuk kawasan-kawasan selatan Pe­rancis termasuk Herault, Gard, Vaucluse dan Bouches-du-Rhone sehingga tengah hari semalam.

Tindakan itu menandakan kali pertama beberapa wilayah Perancis ditempatkan di bawah peringkat merah sejak itu sistem amaran berkenaan diperkenalkan pada tahun 2004.

Pada tahun 2003, kira-kira 15,000 orang mati disebabkan punca-punca berkait cuaca panas di Perancis.

“Jumlah kematian pasti lebih rendah berbanding tahun 2003 kerana kami tidak tahu apa itu gelombang haba, (ketika itu) kami belum bersedia,” menurut Menteri Kesihatan, Agnes Buzyn.

“Kami kini lebih bersedia berbanding keadaan tahun 2003. Hari ini, semua orang tahun apa mereka perlu lakukan, setiap hospital sudah ada pelan sendiri,” jelasnya.

Beliau juga meminta orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga, dan mengelak daripada me­lakukan sebarang aktiviti sukan dan perkara di luar kediaman yang tidak penting.

Susulan fenomena gelombang haba, pihak berkuasa sudah me­ngaktifkan satu pelan tindakan tahap tiga yang menyediakan ‘bilik dingin’ di bangunan-bangunan perbandaran, membuka kolam renang untuk aktiviti renangan lewat malam serta menawarkan akses ke taman-taman rekreasi pada waktu malam. – Bernama