Perkara itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebentar tadi selepas tidak kedengaran suara ‘tidak bersetuju’ terhadap usul itu, termasuk daripada blok pembangkang.

Ketika menggulungkan usul berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, usul dibentangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Pembangkang sebelum itu mempersoalkan punca kuasa usul tersebut kerana dikatakan tidak bergantung kepada mana-mana akta sedia ada.

Vui Keong sebelum itu berkata, undang-undang tersebut merupakan satu daripada langkah kerajaan dalam menaikkan imej baharu negara agar lebih telus dan bebas rasuah.

“Maka dewan ini bersetuju bahawa Akuan Berkanun tersebut hendaklah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh usul ini disetujukan dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Menteri itu berkata, sekiranya didapati membuat akuan tidak benar, maka ahli Parlimen tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, dan jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimun tiga tahun dan denda.

Usul itu akan terpakai kepada semua ahli Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak-anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, dan pemegang amanah berkaitan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada minggu lalu berkata, setiap wakil rakyat termasuk pembangkang mempunyai pengaruh yang tersendiri, sekali gus perlu dihindari daripada menggunakan kedudukan untuk mendapatkan habuan. – UTUSAN ONLINE