Macau Scam: pembantu kedai elektrik rugi RM95,000

Spread the love

KUANTAN — Seorang pembantu kedai elektrik mendakwa kerugian RM95,000 selepas terjerat dalam sindiket Macau Scam sejak Mac lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 34 tahun mendakwa dihubungi seorang wanita pada 8.30 pagi 20 Mac lepas kononnya dari Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan.

Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kemalangan langgar lari yang menyebabkan seorang remaja berusia 16 tahun maut, yang dinafikan mangsa.

“Bagaimanapun suspek menambah nama mangsa juga terlibat dalam kes dadah selain terdapat sebuah akaun bank dengan simpanan RM2 juta di atas nama mangsa yang dikatakan dibuka pada Disember 2018.

“Akaun itu dikatakan berkaitan dengan jenayah penggubahan wang haram dan kes itu dikatakan sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang bimbang ditangkap diarahkan berurusan dengan seorang lagi suspek wanita kononnya berpangkat Inspektor, yang dikatakan boleh mengemukakan rayuan kepada hakim.

‘Inspektor’ itu kemudian menghubungi mangsa pada 21 Mac lepas memaklumkan ‘hakim’ bersetuju untuk menangguhkan waran tangkap ke atas mangsa, dengan syarat membayar jaminan dan kos penguam.

“Mangsa akhirnya membuat sembilan transaksi ke dalam tiga akaun yang diberikan inspektor itu, namun akhirnya mula berasa curiga kerana terus diminta untuk membuat pelbagai bayaran,” katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.