PH halang saya ke Parlimen, kata Najib

Spread the love

PETALING JAYA: Najib Razak mendakwa Pakatan Harapan cuba menghalang beliau ke Dewan Rakyat, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk menghadiri persidangan yang bermula hari ini.

Bekas perdana menteri itu yang berdepan pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, berkata pada zaman Barisan Nasional, penangguhan kes membabitkan pemimpin PH seperti Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, mendiang Karpal Singh dan “bakal perdana menteri ke-8” dibenarkan apabila Dewan Rakyat bersidang.

Pada zaman pemerintahan PH, katanya, mahkamah tidak membenarkan kesnya ditangguhkan ketika Parlimen mula bersidang dan membahaskan isu negara.

“Tapi, kalau saya pergi ke Parlimen pun, PH dah mengeluarkan usul untuk menggantung tugas saya sebagai ahli Dewan Rakyat selama 3 bulan. PH ini halang saya ke Parlimen,” tulisnya di Facebook hari ini sambil menambah PH mahu menggantungnya, tetapi turut mendakwanya tidak berani ke Parlimen.

Sebelum ini, dilaporkan satu usul dibentangkan untuk menggantung Najib atas dakwaan melanggar larangan menyiarkan Kertas Putih Felda sehari sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April lalu.

Tetapi, beliau kemudiannya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“(Mereka) tanya saya kenapa saya gunakan media sosial, tapi tak gunakan Parlimen untuk bentangkan isu-isu rakyat.”

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tiada pihak boleh menghalang sesiapa pun menjawab isu yang dibangkitkannya di media sosial.

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.