Airbnb sumbang RM3 bilion kepada ekonomi Malaysia

Spread the love

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi pasaran paling berkembang pesat bagi Airbnb di Asia Tenggara buat tahun kedua berturut-turut dengan menjana kira-kira RM3 bilion impak langsung ekonomi kepada Malaysia.

Pengurus Besar Airbnb Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, Mike Orgill, berkata sepanjang 2018, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 73 peratus membabitkan 3.25 juta tetamu bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 1 Julai 2019.

Bagaimanapun, ia susut sedikit berbanding 99 peratus pertumbuhan tetamu pada tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan pesat Airbnb di negara ini juga dijana oleh pelbagai perayaan penting seperti Hari Raya yang mana dua minggu pertama Syawal, kira-kira 9,700 hos Airbnb menerima lebih 197,000 tetamu dari seluruh dunia dengan nilai perolehan hampir RM27.6 juta,” katanya pada sesi taklimat di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, syarikat sewaan bilik hotel dalam talian yang berpangkalan di San Francisco itu menggesa kerajaan menyediakan rangka kerja percukaian pelancongan yang terpakai kepada semua jenis penginapan yang berdaftar di bawahnya.

Orgill berkata, sistem percukaian yang ada ketika ini hanya terhad kepada beberapa jenis penginapan dan tidak menyeluruh.

Justeru, katanya, pemahaman yang jelas mengenai cara sistem percukaian itu dilaksanakan perlu diperluaskan dan diperhalusi supaya ia mudah difahami.

“Kami kini giat mengadakan rundingan dengan kerajaan mengenai cukai pelancongan dan meminta supaya pendaftaran cukai pelancongan bagi hos kami dipermudahkan.

“Dari awal kita sudah nyatakan bahawa semua kediaman yang berdaftar dengan Airbnb perlu didaftarkan. Namun persoalannya adalah mengenai proses berkenaan,” katanya

Airbnb kini dalam rangka memuktamadkan perjanjian dengan kerajaan Malaysia, yang mana dikenakan cukai pelancongan baharu sebanyak RM10 satu malam kepada ahli Airbnb yang menyewa lima bilik atau lebih.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.